BANGI, 22 Februari – Kerajaan Persekutuan akan mengadakan rundingan bersama Kerajaan Sarawak bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada aspek kerjasama dalam penerokaan projek baharu yang merangkumi pelbagai sektor.
"Supaya projek-projek di Sarawak, terutama yang baharu, sama ada diterokai oleh Petronas atau Petros, dapat melibatkan kerjasama yang rapi dan sederap antara kedua-duanya.
"Saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan berhubung dengan Kerajaan Sarawak dan, jika boleh, kita akan panggil perjumpaan untuk mendengar usul mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Permukiman Jemaah Menteri, Kerajaan MADANI 2025, di sini.