GUATEMALA CITY, 13 Mac- Salah seorang buruan dadah paling dikehendaki di Guatemala, Aler Baldomero Samayoa, telah ditahan di Mexico dan diserahkan kepada pihak berkuasa Guatemala bagi menghadapi proses ekstradisi ke Amerika Syarikat, menurut kenyataan rasmi pada Rabu.
Samayoa, yang dikenali dengan gelaran "Chicharra" (Kikida), didakwa mengetuai kumpulan Los Huistas yang dikatakan menyeludup kokain dari Amerika Selatan ke kartel Mexico untuk dihantar ke Amerika Syarikat, kata Menteri Dalam Negeri Guatemala, Francisco Jimenez.
Penangkapannya berlaku di tengah-tengah tekanan berterusan daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, ke atas Mexico dan negara jirannya untuk membanteras aliran dadah haram.
Jimenez menjelaskan, Samayoa ditahan di wilayah selatan Mexico, Chiapas berhampiran sempadan Guatemala, hasil kerjasama antara Guatemala, Amerika Syarikat dan Mexico.
Suspek kemudiannya dipindahkan ke penjara di Mahkamah Bandar Guatemala sementara menunggu proses ekstradisi, menurut pejabat pendakwa raya.
Kedutaan Amerika Syarikat di Guatemala dalam satu hantaran media sosial mengalu-alukan penahanan Samayoa, menyifatkannya sebagai "kemajuan besar dalam memerangi penyeludupan dadah," dan memaklumkan prosedur sedang berjalan untuk memastikan ekstradisinya ke AS dilakukan dengan segera.
Dari dalam selnya, Samayoa memberitahu media bahawa beliau bersedia menerima pertuduhan terhadapnya.
"Itu cara terbaik untuk mempercepatkan proses," kata lelaki berusia 58 tahun itu.- AFP