KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melaksanakan Operasi Pantau 2025 di beberapa premis hotel dan pusat sembelihan bagi menangani isu penggunaan serta penipuan dalam perbahasan halal.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman memaklumkan operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Operasi ini memberi fokus kepada pusat sembelihan ayam yang beroperasi secara haram di sekitar ibu negara. Hasil risikan selama lebih dua minggu mendapati terdapat pihak yang menjual ayam secara meragukan. Berdasarkan siasatan lanjut, dua premis dikenal pasti beroperasi tanpa lesen,” katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut, pada Rabu.
Menerusi serbuan itu, sebanyak 3,000 kilogram ayam dengan nilai sitaan berjumlah RM28,000 telah disita.
Selain itu, seramai 26 warga asing dari India dan Bangladesh turut ditahan kerana didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan dan kesemua mereka telah diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.