KUALA LUMPUR, 10 Julai - Pengumuman pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berjaya menamatkan polemik pelantikan jawatan tertinggi perundangan itu sebelum ini.
Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir yakin menerusi reformasi serta pemantapan sistem kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid berwibawa memikul tanggungjawab besar itu, sekali gus membawa badan kehakiman negara ke satu tahap yang lebih baik.
"Saya percaya bahawa pihak Perdana Menteri dan juga Majlis Raja-Raja telah menimbangkan kredibiliti, integriti, kemampuan, kompetensi, ketajaman undang-undang yang arif Datuk Wan Ahmad Farid untuk dilantik dan selayaknya diterima sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu," katanya kepada RTM.
Jelasnya, dengan pengalaman sedia ada, Datuk Wan Ahmad Farid mampu melihat cabaran mendatang serta tindakan yang tepat bagi semua pihak yang memerlukan pembelaan undang-undang secara adil dan saksama.
"Perkara ini sangat penting, pihak peguam orang awam dan pegawai yang hadir di mahkamah perlu merasakan
bahawa mereka telahpun didengari, diadili sebaik munkin tanpa mengambil kira keputusan yang bakal diterjemahkan oleh hakim-hakim setelah sesuatu kes itu selesai," katanya lagi.
Beliau turut percaya Ketua Hakim Negara yang baharu dapat memberikan keyakinan penuh kepada rakyat bahawa sistem kehakiman negara tetap kukuh sebagai cabang ketiga sistem demokrasi di negara ini.
Ketua Hakim Negara juga perlu memastikan kebebasan sistem kehakiman akan terus kekal terpelihara di bawah pentadbiran beliau kelak.