UZBEKISTAN, 18 Julai - Kerjasama dua hala dalam sektor pelancongan antara Malaysia-Uzbekistan terus diperkukuh menerusi lawatan kerja delegasi Malaysia ke Uzbekistan, baru-baru ini.
Semasa lawatan itu, delegasi Malaysia berpeluang melawat beberapa wilayah utama seperti Jizzakh, Samarkand, Bukhara dan ibu kota Tashkent, sekali gus meneroka warisan budaya Uzbekistan, lokasi ziarah Islam serta infrastruktur pelancongan yang pesat membangun.
Menerusi kenyataan Kedutaan Republik Uzbekistan di Kuala Lumpur, ia melibatkan penyertaan kepimpinan utama persatuan pelancongan negara termasuk Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia.
Ia turut disertai lebih 25 syarikat pelancongan tempatan serta pelakon dan pengacara terkenal, Adrea Abdullah.
"Beberapa sesi pembentangan tentang potensi pelancongan Uzbekistan telah diadakan bersama mesyuarat Kerajaan kepada Perniagaan (G2B) dan Perniagaan ke Perniagaan (B2B) yang menyatukan pengendali pelancongan Malaysia-Uzbekistan bagi membincangkan peluang memperluas kemasukan pelancong Malaysia serta membina kerjasama jangka panjang.
"Delegasi turut diberi kesempatan merasai perkhidmatan Uzbekistan Airways termasuk laluan penerbangan terus Kuala Lumpur - Tashkent - Kuala Lumpur yang dilihat sebagai pemacu utama pengukuhan hubungan pelancongan dua hala," menurut kenyataan tersebut.
Lawatan berkenaan dianjurkan oleh Kedutaan Republik Uzbekistan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan Republik Uzbekistan.
Lawatan berkenaan merupakan susulan kepada kunjungan rasmi Presiden Uzbekistan ke Malaysia pada Februari lalu, dan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian pelancongan dua hala yang telah dimeterai.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh sektor pelancongan, memperluas pertukaran rakyat serta mempererat kerjasama ekonomi serantau.