SERDANG, 7 Jun- Keterlibatan semua pihak berkepentingan terutama institusi pengajian tinggi (IPT) sangat penting ke arah memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan lestari.
Perkara itu khususnya dalam memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan kajian untuk meneroka, memberi pendedahan dan mengenal pasti teknologi pertanian moden terkini yang dapat memajukan industri pertanian secara lebih dinamik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara dari segi peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
"Penglibatan universiti ini dalam hal kajian terutama sekali memperkenalkan teknologi baru, benih baru, cara baru... Penanaman terutama bahan-bahan makanan yang boleh membantu rakyat dan negara soal keterjaminan makanan.
"Jadi ini cukup bermakna... usaha seperti ini dan kita lihat negara-negara lain di Thailand, di Jepun dan sebagainya mereka lakukan dan kita juga sekarang ini, sebaris dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Blueprint' Keterjaminan
Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), sempena Karnival Keterjaminan Makanan di sini.
Dalam pada itu perbincangan berkenaan cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) sedang dilakukan sebelum ia diputuskan dalam beberapa bulan lagi.
"Perbincangan antara semua pihak sedang berjalan dan tunggu beberapa bulan (akan) membuat keputusan," katanya ketika mengulas berkenaan cadangan kenaikan itu.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UPM Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Pada November tahun lepas, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.
Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.
Berhubung rungutan bekalan beras tempatan tidak mencukupi, Mohamad berkata tindakan segera telah diambil untuk memenuhi permintaan berkenaan.
Beliau berkata bekalan beras tempatan masih stabil namun selagi negara mengimport kurang 38 peratus makanan ruji itu, maka akan berlaku peningkatan harga.
Selain itu, Mohamad berkata kemarau yang berpanjangan di Kelantan juga dikhuatiri akan menjejaskan hasil tahun ini dan seterusnya.
Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan secara serius dengan semua pihak terlibat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung isu itu.
Berkenaan 'Blueprint' Keterjaminan Makanan UPM, Mohamad berkata pelan tindakan itu juga melibatkan penambahbaikan gerak kerja pemodenan sektor pertanian berkonsep pintar sebagai elemen utama bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Ia termasuk penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan.
"Penglibatan universiti ini dalam hal kajian terutama sekali memperkenalkan teknologi baru, benih baru, cara baru... Penanaman terutama bahan-bahan makanan yang boleh membantu rakyat dan negara soal keterjaminan makanan.
"Jadi ini cukup bermakna... usaha seperti ini dan kita lihat negara-negara lain di Thailand, di Jepun dan sebagainya mereka lakukan dan kita juga sekarang ini, sebaris dengan mereka," katanya.