fb fb fb fb fb

Dua lagi kematian libatkan jemaah haji Malaysia

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman/ BERNAMA

MEKAH, 7 Jun- Dua lagi kematian melibatkan jemaah haji Malaysia dicatat pada 3 dan 4 Jun lalu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah jemaah yang meninggal di tanah suci meningkat kepada empat orang.

Jemaah ketiga meninggal dunia adalah Ghazali Ahmad, 71 tahun dari Alor Setar, Kedah berpunca kegagalan buah pinggang dan pembuluh darah tersumbat di perut.

Manakala, Noormadiah Mat Ali, 53 tahun dari Jerteh, Terengganu meninggal dunia berpunca kegagalan fungsi organ disebabkan jangkitan kuman paru-paru.

“Mereka telah dibawa ke klinik di maktab dan klinik maktab mendapati bahawa mereka perlu dihantar ke Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah.

“Mereka telah di hantar ke sana dan setelah beberapa ketika pihak Pusat Rawatan Tabung Haji mendapati mereka perlu rawatan lebih lanjut dan telah dibawa ke Hospital Arab Saudi, beberapa hari selepas itu mereka telah meninggal dunia”, katanya pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat TH Mekah.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan masing-masing di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Syaraiee.

Tabung Haji akan menguruskan badal haji bagi kesemua empat jemaah haji tersebut dengan kos ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.

ROSLINA BINTI DIN