BALIK PULAU, 7 Jun - Draf cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menangani isu Program Latihan Ijazah Kepakaran (Parallel Pathway) telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kini dalam peringkat semakan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, sesi libat urus bersama-sama kementerian dan agensi-agensi berkaitan akan berlangsung sejurus selesai proses tersebut; sebelum dibentangkan kepada kabinet pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga akan datang.
Pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bakal memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan sekaligus membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera.
Sebelum ini cadangan pindaan itu dikemukakan hasil memorandum Jemaah Menteri yang dibuat oleh beliau sendiri bersama-sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
"Jadi draf RUU sudah siap dan diberikan dan dikemukan untuk semakan oleh jabatan peguam negara di AG Chamber dan dalam proses dan saya sangat mengharapkan sejurus selepas, selepas itu akan berlaku apabila libat urus yang akan dibuat bersama dengan antara lainnya FMC, MQA, KPT dan pihak-pihak atau stakeholder yang lain ketika telah siap semuanya maka kita akan bentangkan," kata Dzulkefly, di sini.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Dzulkefly berkata pindaan itu bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan pararallel pathway.
Terdahulu beliau merasmikan Klinik Kesihatan Air Putih Balik Pulau dan menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Fasiliti Kesihatan negeri Pulau Pinang.
Projek Klinik Kesihatan berkenaan telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober tahun lalu dan menelan kos sebanyak RM30 juta.