RIYADH, 20 Oktober- Ketegasan Malaysia membawa isu penindasan terhadap rakyat Palestin, bukan untuk menjadi jaguh, sebaliknya menjadi tanggungjawab membela umat Islam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam dicabar dan ia menuntut ketegasan semua.
Beliau dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berterima kasih kepada Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil inisiatif menyatakan pendirian jelas mengenai Gaza.
Katanya, ini soal keadilan serta maruah rakyat Palestin dan bukannya mengenai perkauman.
"Dan bila ada tindakan dari kumpulan Islam itu dihebahkan, satu dunia marah, riuh-rendah apa yang dikatakan keganasan, padahal kezaliman setiap hari, rampasan tanah, pembunuhan wanita, kanak-kanak, penghinaan berterusan puluhan tahun, saya kata dimana kemanusiaan, ini menyebabkan kita harus bersuara", katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Diaspora Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.