KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Kerajaan berjaya menangani inflasi dalam sektor telekomunikasi apabila data terkini daripada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar inflasi semasa kekal pada -3.7 %.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, perkara itu menjadikan harga internet, telefon dan sebagainya semakin berkurangan.
Beliau berkata kerangka Ekonomi Madani tidak hanya fokus terhadap jumlah peruntukan belanjawan yang besar sahaja, malah fokus utama kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan negara disamping berusaha meningkatkan pendapatan rakyat.
Pelbagai inisiatif mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi akan diteruskan.
"Kita ingin tingkatkan pendapatan negara disamping berusaha tingkatkan pendapatan rakyat. Jadi ada beberapa perkara, saya lihat penting.
"Setakat ini, seperti hari ini kita lihat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ada menerbitkan beberapa angka, contohnya inflasi bagi September telah merendah ke 1.9 % dan sukacita saya sebut di sini untuk sektor komunikasi ia kekal pada paras -3.7 % untuk lebih kurang tiga hingga empat bulan berturut-turut.
"Jadi kita lihat sektor telekomunikasi, komunikasi sama ada internet, kita punya telefon, mainkan peranan penting dan dasar-dasar yang kita umum serta apa yang diikhtiarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), kita ingin kurangkan lagi harga internet untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat lebih manfaat", katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama TV.
Beliau juga menjangkakan liputan rangkaian 5G di Malaysia akan berkembang kepada 80 % menjelang akhir tahun ini.