KUANTAN, 20 Oktober- Dua beranak cedera parah akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Permatang Badak, Kuantan, pada pukul 7.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 38 tahun itu bertindak menetak mangsa menggunakan parang.
Kejadian menyebabkan Radzmah Awang, 71 tahun dan anaknya, Ibrahim Shamsudin, 36 tahun, cedera parah di tangan, kepala serta beberapa bahagian badan.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian dua beranak itu bersama dua lagi ahli keluarga berada di dapur sebelum suspek bertindak memecahkan pintu dan masuk dengan membawa sebilah parang, lalu menyerang dan menetak dua beranak itu.
"Awalnya, suspek telah menetak kepala dan tangan Ibrahim sebelum menyerang Radzmah yang cuba melindungi anaknya.
"Suspek kemudiannya segera melarikan diri dengan menaiki motosikal.
"Hasil siasatan, polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam berikutan suspek pernah bekerja dengan salah seorang ahli keluarga itu sebelum diberhentikan kerana terlibat dengan penagihan dadah.
Suspek juga sering mengganggu keluarga mangsa dan laporan polis juga pernah dibuat ke atas lelaki tersebut dan ditangkap serta dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan melakukan khianat ke atas keluarga tersebut," katanya menerusi kenyataan.
Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.
Pihak polis kini dalam usaha mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.