IPOH, 20 Oktober- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Yayasan Al-Quds menyasarkan kutipan sebanyak RM2 juta bagi Tabung Kemanusiaan Palestin Negeri Perak untuk membantu rakyat di Palestin.
Presiden MAPIM Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, setakat ini, sejumlah RM50,000 telah disalurkan ke Palestin bagi bantuan awal kepada penduduk Palestin.
Beliau berkata, bantuan tersebut meliputi makanan, keperluan kebersihan dan peralatan untuk kerja-kerja menyelamat.
"Saya sasarkan untuk Perak sebanyak RM 2 juta, Selangor kira-kira RM10 juta. Jadi sasaran Perak ini, saya rasa boleh dicapai kalau ada koordinasi yang baik katanya kepada media ketika Majlis Penerangan Keadaan Gaza-Palestin di Masjid Sultan Idris Shah 2, Ipoh.
Tambah beliau, setakat ini hasil kutipan yang berjaya dikumpul di negeri Perak adalah sebanyak RM200,000.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shamalla berkata, bantuan ini dapat membantu lebih 1 juta rakyat Palestin yang berada di negara itu.
"Di sini di Malaysia, kami adalah Yayasan al -Quds di Malaysia dengan kerjasama MAPIM dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Beberapa item yang sangat perlu kepada mereka yang cedera, di hospital, di tempat lain, jadi kami adakan kempen-kempen untuk kumpul RM2 juta, alhamdulilah sehingga kini kami berjaya mengumpul kira-kira RM 500,000.