fb fb fb fb fb

Ketegangan di Rusia, kerajaan sedia bawa pulang lebih 700 rakyat Malaysia

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan FBINAA Bahagian Asia Pasifik ke-23/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Kerajaan sedia membawa pulang lebih 700 rakyat Malaysia yang berada di Rusia sekiranya ketegangan semakin memuncak di Moscow dan wilayahnya.

Ia susulan pengisytiharan operasi memerangi pengganas (CTO) di Moscow dan wilayahnya. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kerajaan memantau rapi perkembangan ketegangan yang berlaku di negara itu terutamanya di Moscow.


(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

"Tindakan-tindakan keselamatan termasuk jika keadaan tidak dapat menjamin keselamatan rakyat Malaysia di sana, usaha ke arah untuk membawa mereka balik Malaysia sedang diatur oleh pihak Wisma Putra. Bagaimanapun kita akan terus memantau situasi di Rusia dan kita harap kedudukan keselamatan akan terjamin khususnya rakyat Malaysia di Mosccw dan Rusia keseluruhannya", katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di sini, hari ini.

Kedutaan Malaysia di Rusia dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi akaun Twitter menasihatkan rakyat Malaysia di Rusia, Armenia dan Belarus supaya terus berwaspada susulan pengisytiharan CTO pada Sabtu.

Ketegangan di negara itu semakin memuncak selepas kumpulan upahan Wagner, yang diketuai Yevgeny Prigozhin, melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia. Prigozhin sebelum ini pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin.

Sementara itu, menyentuh mengenai Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memaklumkan, situasi politik negara yang tidak menentu sejak kebelakangan ini telah merencatkan usaha Malaysia perbaiki kedudukan ke peringkat satu (Tier 1).

Katanya, usaha menaikkan kedudukan Malaysia tidak menjadi keutamaan ketika itu.

"Ada satu ketika Malaysia berada dalam peringkat 3. Atas usaha kerjasama PDRM, Jabatan Imigresen dan KDN kita telah dapat tingkatkan ke taraf 2.

"Kita telah berusaha untuk mempertingkatkan ke taraf 1 dimana warga Malaysia sebagaimana negara-negara taraf 1 lain tidak perlu memohon visa mengadakan lawatan ke United States tetapi kedudukan itu tidak dapat dicapai disebabkan oleh pertukaran kerajaan di Malaysia dan mungkin soal untuk menaikkan tahap Malaysia ke taraf 2 tidak menjadi keutamaan kerajaan ketika itu", katanya.

Media Baharu