PUTRAJAYA, 1 Mei - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada rakyat.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, ini sebagai komitmen kerajaan 'go all out' bagi pelaksanaan latihan kemahiran bernilai tinggi kepada rakyat untuk tahun ini.
Katanya, pelbagai kursus yang ditawarkan termasuk bidang kemahiran terkini seperti AI, robotik, teknologi5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau 'green skills'.
"Ada kursus jangka pendek beberapa hari, ada kursus jangka panjang beberapa tahun; ada kursus Sijil Kemahiran Malaysia, ada kursus sijil mikro dan modular; ada kursus bersemuka, ada kursus on-the-job training di industri, ada kursus atas talian," Steven Sim berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan setiap lapisan rakyat mempunyai mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling) dan menyilangkan tenaga buruh sedia ada dengan kemahiran lain (cross-skilling).
"KESUMA juga sedang dalam usaha memperkasakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan rakyat Malaysia. Beberapa pindaan dan pembaharuan telah dilaksanakan. Kini perlindungan PERKESO bawah Akta 4 meliputi 10 juta pencarum, manakala Skim Insurans Pekerjaan meliputi lebih kurang 7 juta pencarum," katanya.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata 'Pekerja Kesuma Bangsa' diangkat sebagai tema hari pekerja tahun ini.
Pemilihan tema tersebut bagi mengiktiraf peranan pekerja dalam mengerakkan serta melonjakkan ekonomi negara
"Tanggal 1 Mei tarikh keramat kaum pekerja kali ini bukan semata mata cuti riadah, penat lelah liku-liku oleh kaum pekerja sudah jauh kita berjalan, jadi kita harus bgi inspirasi untuk terus mara kehadapan, jalan terus, tidak kira pekerja swasta atau kerajaan waima suri rumah hari ini hari anda," katanya,
Sambutan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Lebih 5,000 hadir yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
Turut hadir Menteri-Menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.