fb fb fb fb fb

Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 1 Mei - Penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelaksanaan kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Menurut beliau, kerajaan akan meningkatkan gaji penjawat awam bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

"Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.

"Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

"Kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan...dan ini adalah kenaikan paling baik dalam negara.

"Kita juga akan meneliti daripada segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak melebihi (daripada yang sepatutnya) ... defisit masih rendah, gaji kena naik dan ini memerlukan kepakaran luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja KESUMA Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Berita gembira itu disambut dengan tepukan sorak yang gemuruh daripada penjawat awam yang hadir ke majlis itu sebentar tadi.

Sebelum ini, RTM melaporkan Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengumumkan SSPA yang akan dilaksakan sepenuhnya mulai 2025 dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2012, kadar peratusan kenaikan gaji mengikut gred dan kumpulan perkhidmatan adalah seperti berikut:-

0105 KENAIKAN GAJI TABLEJadual Kadar Peratusan Kenaikan Gaji Penjawat Awam berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2012

Ujar beliau, pelaksanaan SSPA juga dilihat kepada aspek yang menyeluruh.

“Ini bukan terpakai untuk semua. Kalau rekod kerjanya itu tidak membanggakan... malas, sering lambat bekerja dan tidak memberikan tumpuan yang baik. Mereka (pekerja) itu akan dipantau supaya tidak diberikan ganjaran seperti mana janji kerajaan.

“Jadi tanggungjawab kita bersama, baik dari kesatuan dan di jabatan,” katanya.

Susulan pengumuman itu, Anwar juga berharap syarikat-syarikat swasta mengikuti pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam.

"Walaupun keputusan saya pada hari ini menyentuh penjawat awam, saya mahu mesejnya jelas kepada sektor swasta yang mencatat keuntungan yang baik.

"Bahawa pengumuman ini walaupun tidak menyinggung secara langsung (syarikat) swasta, saya mahu dan memberikan tempoh kepada mereka memberikan perhatian.

"Ada syarikat-syarikat swasta yang untungnya itu berlipat kali ganda. Jadi mana untungnya? - dalam produktiviti. Dari mana produktivitinya? Produktiviti itu (datang) dengan pekerja, jadi berikanlah sedikit, kalau syarikat untung ratus juta, berikanlah berapa ratus ringgit kepada pekerja,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN