fb fb fb fb fb

KESUMA beri amaran syarikat hilang CLQ dan permit jika gagal patuhi Akta 466

Menteri KESUMA Steven Sim Chee Keong / Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 22 Jun – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak menolak kemungkinan menarik balik lesen bagi Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) dan Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) jika pengusaha syarikat gagal memastikan kebajikan pekerja dijaga dengan baik.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata amaran itu terpakai termasuk menarik permit pekerja mengikut akta sedia ada susulan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan pekerja asing pada Jumaat lalu.

"Kita tiada masalah untuk menarik balik kelulusan CLQ termasuk permit pekerja bagi syarikat terlibat sekiranya mereka gagal memastikan pekerja mematuhi peraturan.

"Ini bukan soal kita mahu berkeras dengan industri atau perniagaan, tetapi mereka perlu faham bahawa perkara ini memberi kesan kepada masyarakat setempat, termasuk kepada majikan sendiri. Kita mahu pastikan segala-galanya berjalan mengikut peraturan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang menetapkan kewajipan majikan soal keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada Jumaat lalu, berlaku kekecohan melibatkan sekumpulan pekerja asing di sebuah CLQ yang menempatkan lebih 1,000 pekerja dari lapan syarikat berbeza.

Oleh itu, polis menahan seramai 46 lelaki warga asing semalam selepas melakukan protes dan merosakkan sebuah van milik syarikat.

Steven berkata ketegangan berlaku apabila penyelia tersebut didakwa mengambil wang daripada pekerja tanpa pengetahuan pihak pengurusan syarikat.

GRACE AISYAH KEDAYAN