fb fb fb fb fb

Koop Sahabat umum dividen 10%, tahun keempat berturut-turut

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Ahmad Norihan Jalal (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-12 Koop Sahabat. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Jun– Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus kepada lebih 449,000 anggotanya bagi tahun kewangan 2024.

Ini merupakan tahun keempat berturut-turut koperasi itu mengekalkan kadar dividen sama, susulan prestasi kewangan kukuh dengan lonjakan pendapatan 140 peratus, daripada RM15 juta pada 2023 kepada RM37 juta tahun lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Muhammad Najib Mohd Noor, peningkatan ini didorong oleh kejayaan sektor Ar-Rahnu serta penglibatan dalam projek pembangunan seperti Rumah Selangorku dan Residensi Madani.

"Koop Sahabat mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus kepada semua anggota bagi tahun kewangan 2024, menjadikannya tahun keempat berturut-turut koperasi mengekalkan kadar dividen tersebut,” jelas beliau kepada media selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-12.

Pada majlis sama, Koop Sahabat turut melancarkan YATI, sebuah persona digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi menyokong usaha pendigitalan koperasi.

YATI, singkatan kepada "Yang Aktif, Tepat dan Informatif" berperanan sebagai pembantu maya, hos digital acara rasmi, duta komunikasi, dan ikon digital koperasi yang membantu menyampaikan maklumat, menjawab pertanyaan lazim serta menyokong interaksi dalam talian bersama anggota.

Pelancaran YATI disempurnakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal, menyifatkan inisiatif itu sebagai antara pencapaian terbaik dalam transformasi digital koperasi di Malaysia.

“Setiap perniagaan akan terus berkembang, manakala ekosistem serta trend dalam dunia perniagaan, termasuk koperasi, akan sentiasa berubah. Sehubungan itu, YATI diperkenalkan sebagai salah satu platform digital terbaik yang merangkumi pelbagai fungsi seperti e-dagang, hos maya (virtual MC), dan aplikasi digital lain yang menyokong transformasi koperasi.” katanya.

Tambah beliau, SKM bersama Institut Koperasi Malaysia kini sedang meneliti semula silibus latihan koperasi bagi menyepadukan elemen berkaitan AI dan Internet of Things (IoT) agar selari dengan keperluan semasa Revolusi Industri 4.0.

Ditubuhkan pada tahun 2012, Koop Sahabat kini mempunyai lebih 450,000 anggota dan telah disenaraikan selama lima tahun berturut-turut sebagai antara 10 koperasi terbaik negara oleh SKM.

SITI NOORAIN ABDULLAH