fb fb fb fb fb

Perluasan TOU, beri ruang pengguna kawal penggunaan, perbelanjaan elektrik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Jun– Perluasan Skim Masa Penggunaan (TOU) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan bermula pada Julai ini, disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya, terutamanya ketika rakyat mendepani cabaran kos sara hidup.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, langkah ini memberi ruang kepada pengguna untuk mengawal penggunaan dan perbelanjaan elektrik dengan lebih bijak.

"Dalam skim ini, penggunaan elektrik antara jam 2 petang hingga 10 malam akan dikenakan kadar lebih tinggi. Sebaliknya, penggunaan di luar waktu itu akan dikenakan kadar lebih rendah. Ini membolehkan pengguna menyesuaikan masa aktiviti harian seperti membasuh pakaian, menggosok baju dan menggunakan alat pendingin hawa ke luar waktu puncak bagi menikmati kadar lebih murah," jelas beliau ketika dihubungi Berita RTM.

Katanya, bagi isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah, langkah ini mampu memberikan penjimatan yang signifikan.

"Penjimatan bil elektrik boleh dialihkan kepada keperluan lain seperti makanan, pendidikan atau pengangkutan," tambah beliau.

Beliau turut menyifatkan skim ini sebagai satu perubahan positif dalam corak penggunaan tenaga rakyat, yang bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah menyumbang kepada kecekapan tenaga dan kelestarian negara.

"Saya menggalakkan semua pengguna agar ambil tahu tentang struktur tarif baharu ini dan mula sesuaikan corak penggunaan elektrik harian kita. Dengan sedikit penyesuaian masa, kita boleh jimat banyak setiap bulan," ujar Dr. Nuradli.

SITI NOORAIN ABDULLAH