BUKIT MERTAJAM, 22 Jun - Kekecohan melibatkan sekumpulan pekerja asing di sebuah Centralised Labour Quarters (CLQ) yang terletak di sebuah hotel di Bukit Mertajam, pada Jumaat lalu menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
Kekecohan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan pekerja migran terhadap penyelia sebuah syarikat.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, penyelia itu didakwa mengambil wang daripada mereka tanpa memaklumkan tujuan kepada syarikat pengurusan. Siasatan awal mendapati, kejadian hanya melibatkan pekerja dari satu syarikat.
""Kita tiada masalah untuk menarik balik kelulusan CLQ tersebut, malah juga permit pekerja bagi syarikat terbabit sekiranya mereka gagal memastikan pekerja mereka berdisiplin. Ini kerana ia memberi kesan kepada masyarakat setempat. Bukan kita mahu bertindak keras terhadap industri atau perniagaan, tetapi mereka perlu faham bahawa perkara ini memberi implikasi kepada penduduk, termasuk para pengusaha. Kita hanya mahu memastikan semuanya berjalan dengan teratur," katanya.
Steven Sim bercakap dalam sidang media berkenaan Isu Mogok Pekerja Asing, di sini.
Lebih 1,000 pekerja asing dari lapan syarikat tinggal di CLQ berkenaan dengan majoriti merupakan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
CLQ terbabit telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan pada tahun 2027, namun masih tertakluk kepada Akta 446 Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.
Pada masa sama, kerajaan menegaskan bahawa pengambilan pekerja asing telah dibekukan sejak tahun lalu, kecuali untuk sektor perladangan.