PUTRAJAYA, 22 Jun- Program Jalan Untuk Sihat (JUS) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2025 merupakan platform penting kepada untuk memupuk budaya hidup sihat, merapatkan hubungan sesama warga kerja serta meningkatkan tahap kesejahteraan komuniti kerja.
Pengerusi RISDA, Mandzri Nasib, yang turut hadir dan menyertai acara, berkata program itu adalah satu usaha menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan agenda kesihatan komuniti dan keseimbangan kehidupan selain sebahagian daripada inisiatif Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Wellness of Workers (WOW).
"Kita memang ada keperluan untuk pekerja yang sihat supaya minda cerdas, badan cergas. Melalui JUS ini, kita juga ingin merapatkan ukhuwah antara kakitangan dan keluarga. Apabila hubungan ini baik, ia akan beri kesan langsung kepada produktiviti kerja," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau turut berkongsi rasa gembira apabila lebih 1,000 penyertaan daripada kakitangan RISDA dan ahli keluarga menyertai edisi kali ini.
Rratusan keluarga turut mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan kaki sejauh tiga kilometer, disusuli dengan acara cabutan bertuah dan pelbagai pengisian menarik lain.
Program bertemakan "Langkah Cemerlang Ke Arah Warga Kerja Berprestasi Tinggi", seiring dengan misi agensi itu untuk memperkasakan Budaya Berprestasi Tinggi (High Performance Culture – HPC) dalam kalangan lebih 5,000 warga kerjanya.
Pendekatan tersebut dilihat seiring dengan sasaran RISDA untuk menjadi peneraju pembangunan pekebun kecil getah yang berdaya saing, dalam mendepani cabaran ekonomi dan menyokong aspirasi Desa MADANI yang digagaskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Program itu turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Ab Shukor, dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Md Najib Ishak.
Beliau menyatakan harapan agar program tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang, sebagai satu pendekatan berimpak tinggi untuk membina warga kerja RISDA yang lebih sihat, mesra, dan produktif.