fb fb fb fb fb

Kestabilan serantau: Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama rel

Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 22 April – Dalam situasi global yang tidak menentu, jaringan rel yang kukuh mampu menjadi alternatif strategik untuk menghubungkan negara ASEAN hingga ke China, sekali gus menjamin kestabilan logistik dan perdagangan serantau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerjasama rel antara Malaysia dan Thailand perlu diperkukuh di peringkat kerajaan (G2G) bagi memastikan pembangunan jaringan kereta api yang lebih strategik dan memberi impak kepada rantau ini.

“Memang sudah wujud kerjasama antara KTMB dan State Railway of Thailand (SRT). Kedua-dua operator ini telah lama bekerjasama, tetapi apa yang lebih penting sekarang adalah kerjasama dari segi kerajaan dengan kerajaan dalam merangka pembangunan landasan kereta api yang lebih strategik.

“Kita tidak boleh melihat pembangunan ini hanya dari perspektif domestik semata-mata. Yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan aset kereta api ini untuk kepentingan strategik serantau dengan menghubungkan negara-negara ASEAN melalui sistem rel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Majlis Raikan Kasih MADANI 2025, di sini hari ini.

Menurutnya, sambungan rel antara Malaysia dan Thailand bukan sahaja memperkukuh kesalinghubungan serantau, malah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan rantaian bekalan.

Loke turut memaklumkan beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke Thailand pada 2 Mei ini bagi membincangkan usaha meningkatkan kesalinghubungan rel serantau bersama rakan sejawatnya di negara itu, selain memperkukuh kerjasama di peringkat ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN