fb fb fb fb fb

3 ditahan bantu siasatan tohmahan rasuah

Foto RTM

PUTRAJAYA, 28 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan, ahli perniagaan Albert Tei, iaitu individu paling penting untuk membantu siasatan kes berkenaan telah ditahan pagi tadi.

"Albert Tei yang sepatutnya hadir memberi keterangan pada 1 Disember telah diminta tampil untuk memberi keterangan lebih awal. Beliau enggan memberi kerjasama dan SPRM telah menahan beliau di kediamannya pagi tadi.

"Datuk Seri Shamsul Iskandar pula telah ditahan hari ini selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, tengah hari tadi," jelasnya sambil memaklumkan yang SPRM akan memohon perintah tahanan reman untuk kedua-dua individu berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Sementara itu, SPRM telah mendapat perintah reman terhadap Sofia Rini Buyong selama empat hari selepas wanita itu hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

Tan Sri Azam juga telah mengarahkan pasukan siasatan SPRM melengkapkan siasatan kes itu dalam tempoh seminggu untuk dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata siasatan kes berkepentingan awam itu perlu disegerakan agar tidak dimanipulasi.

Tan Sri Azam turut menegaskan yang siasatan dilakukan pasukannya dibuat secara tegas, profesional dan berpaksikan undang-undang.

"SPRM komited mempercepatkan siasatan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan spekulasi atau meragui ketelusan proses undang-undang.

"Saya telah mengarahkan pegawai siasatan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu ini untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," beliau menjelaskannya dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi laman sosial media rasmi SPRM, hari ini.

Tan Sri Azam menasihati semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada SPRM menyelesaikan siasatan dalam tempoh yang ditetapkan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN