KUALA LUMPUR, 22 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan buku istimewa sempena sambutan 20 tahun penubuhan agensi itu berjudul Helang Samudera: Perisai Maritim Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata naskhah tersebut merupakan satu penghormatan besar buat wira-wira maritim negara yang telah mempertaruhkan keselamatan diri demi keselamatan perairan negara.
“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota Maritim Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian, dalam ucaptama sempena majlis pelancaran buku Helang Samudera: Perisai Maritim Negara sempena sambutan 20 tahun penubuhan Maritim Malaysia.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut mencemar duli menyempurnakan peluncuran buku tersebut sebagai simbol sokongan dan keprihatinan tinggi baginda terhadap peranan strategik Maritim Malaysia dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
Majlis berkenaan juga dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
Buku yang diterbitkan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menampilkan naratif visual, cerita-cerita operasi sebenar, serta momen dramatik yang selama ini tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum.