fb fb fb fb fb

JAKIM sokong tindakan tegas Indonesia tarik balik produk tidak halal

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 April-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius pengumuman rasmi yang dibuat oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia berhubung penarikan balik beberapa produk makanan dari pasaran negara itu selepas didapati mengandungi DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif yang diambil oleh pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

JAKIM telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan awal bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi memastikan produk di pasaran tempatan bebas daripada sebarang keraguan berhubung status halalnya.

Sehubungan itu, langkah pemeriksaan menyeluruh akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengesanan awal terhadap produk-produk yang mencurigakan di pasaran.

JAKIM turut menyeru pihak pengimport yang terlibat agar segera menghubungi pihaknya melalui emel dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

Tindakan tersebut adalah sejajar dengan komitmen JAKIM dalam memelihara hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara terus diyakini.

JAKIM turut menegaskan bahawa hanya produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal akan dibenarkan berada di pasaran, demi kepentingan umat Islam di negara ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD