SERDANG, 28 November – Seramai 1,414 graduan dalam pelbagai disiplin pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 Sidang 2, 2025 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember 2025 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), di sini.
Kumpulan itu daripada bidang sains pertanian, sains dan teknologi makanan, bioteknologi, veterinar, perhutanan, perikanan, kejuruteraan dan pengurusan berkaitan rantaian makanan, sekali gus menjadi tunjang kepada usaha negara memperkukuh sektor agromakanan, inovasi teknologi tani dan keselamatan makanan.
UPM menerusi kenyataan memaklumkan secara keseluruhan, seramai 6,373 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada upacara konvokesyen tersebut. Mereka terdiri daripada 771 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,948 Ijazah Sarjana, 3,636 Bacelor dan 18 Diploma.
”Jumlah ini termasuk 556 graduan yang telah bergraduat pada Sidang 1 Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 1 hingga 2 November lalu, menjadikan keseluruhan 6,929 graduan bagi Konvokesyen UPM Ke-49,” menurut kenyataan itu.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penghasilan graduan pertanian dalam jumlah yang signifikan ini membuktikan peranan UPM sebagai peneraju pendidikan tinggi pertanian negara kekal relevan dan kritikal dalam konteks cabaran sekuriti makanan serta perubahan iklim.
“Graduan pertanian UPM bukan sahaja mahir dalam teknologi dan sains tani, tetapi juga dididik dengan nilai keusahawanan, kepimpinan dan empati komuniti. Mereka inilah yang akan mengetuai transformasi sistem makanan negara, daripada meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil, sehinggalah kepada mengurangkan pembaziran dan memastikan akses makanan yang berkhasiat untuk rakyat,” katanya.
Tambahnya, kejayaan graduan tahun ini turut disokong oleh jaringan kerjasama kukuh dengan industri agromakanan dan rakan strategik. Antaranya, Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals yang dianugerahkan kepada Dr. Tan Hui Ya (PhD Bioteknologi Makanan).
Manakala Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh yang diterima oleh Nur Aqilah Mohamad Arif, graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian, sekali gus mencerminkan sinergi UPM-industri dalam penyelidikan dan inovasi berkaitan makanan selamat, berkualiti dan mampan.
UPM juga meraikan kelahiran graduan sulung program baharu yang menyokong agenda sekuriti makanan dan pembangunan komuniti, antaranya lima graduan sulung Program Master Reka Bentuk Makanan Fungsian dan lapan graduan sulung Program Master Pembangunan Komuniti.
Program ini dirangka bagi melahirkan profesional yang mampu mereka bentuk produk makanan berfungsi bernilai tambah serta memacu pembangunan komuniti luar bandar dan pinggir bandar secara lebih inklusif.
Di peringkat pengantarabangsaan, UPM meneruskan komitmen dalam penawaran Program Kolaborasi Antarabangsa (International Collaborative Programme, ICP) apabila melahirkan tiga graduan Doktor Falsafah di bawah Program Ijazah Bersama (Joint Degree) dengan University of Newcastle, Australia.
Manakala seorang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Bersama Cotutelle dengan University of Paris 1 Pantheon-Sorbonne, Perancis. Pengalaman global ini memperkayakan perspektif graduan UPM dalam isu sekuriti makanan dan kelestarian sistem makanan dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuanku Canselor UPM, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Dato’ Haji Dr. Mohd Fadzilah Kamsah serta pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada Academician Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff pada sesi pertama konvokesyen.
Pengiktirafan itu menyerlahkan komitmen UPM terhadap kesinambungan ilmu, penyelidikan dan pendidikan pengembangan yang dekat dengan masyarakat dan sektor pertanian.
Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2 disempurnakan dalam tujuh sesi oleh Tuanku Canselor dan dua Pro Canselor UPM iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui.