PUTRAJAYA, 28 November– Tiada individu yang terkecuali daripada undang-undang negara, termasuk pegawai tertinggi kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, jemaah Menteri perlu sentiasa memantau pegawai bawah tanggungjawab mereka dan tidak melindungi sebarang salah laku, khususnya berkaitan tadbir urus dan rasuah.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penegasan itu disampaikan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Ia susulan dakwaan yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Syamsul Iskandar Mohd Akin.
“Berhubung isu Datuk Seri Syamsul, Perdana Menteri mengulangi pendirian dan memberi jaminan beliau untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat apa-apa aspek yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa, termasuk SPRM.
"Beliau turut memberi peringatan kepada semua Menteri supaya sentiasa memantau pegawai masing-masing. Tegasnya, tidak akan ada perlindungan jika berlaku sebarang salah laku. Tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” katanya.
Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian pada Sidang Media Mingguan selepas mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.