fb fb fb fb fb

JTKSM keluarkan lebih RM5 juta kompaun kepada majikan sejak 2024

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi / Foto RTM

BANDA HILIR, 22 April 2025 – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengeluarkan lebih 700 kompaun dengan nilai hampir RM5 juta kepada majikan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh Januari 2024 hingga Mac 2025.

Daripada jumlah itu, lebih RM2 juta bayaran kompaun telah berjaya diselesaikan oleh pihak majikan.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, antara kesalahan tertinggi yang dikesan melibatkan isu kebajikan pekerja di bawah Akta Kerja 1955, serta kesalahan berkaitan perumahan dan penginapan pekerja di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 352 kertas siasatan telah dibuka.

“Manakala bagi tahun 2025, sehingga bulan Mac sahaja, 104 kertas siasatan telah dibuka. Secara keseluruhan, lebih 700 kompaun telah dikeluarkan pada tahun lepas dan tahun ini, dengan jumlah denda melebihi RM2 juta,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Operasi Gaji Minimum yang dijalankan di sini.

Tambah beliau, JTKSM akan terus melaksanakan operasi serentak di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang berkaitan.

“Saya ingin menasihatkan para majikan agar lebih baik membayar gaji yang sewajarnya kepada pekerja dan mematuhi undang-undang perburuhan di negara ini.

Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengutamakan kebajikan para pekerja,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD