LANGKAWI, 22 April- Sebanyak 83 koperasi aktif di Langkawi dijangka mendapat manfaat besar dengan pembukaan rasmi Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Langkawi, Kedah.
Perasmian itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Datuk Ewon dalam ucapannya menekankan bahawa pejabat tersebut akan berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) untuk menyokong pembangunan koperasi tempatan.
Jelas beliau, ia bukan sekadar ruang pentadbiran tetapi juga menyediakan kemudahan seperti bilik seminar untuk latihan, mesyuarat dan program peningkatan kapasiti.
Projek naik taraf pejabat bernilai RM2.2 juta tersebut akan membantu koperasi tempatan berkembang dengan lebih efektif.
Ujar beliau, dengan adanya pejabat baharu tersebut, gerakan koperasi di Langkawi dijangka menjadi lebih dinamik dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
Ia selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) dan Pelan Transformasi Koperasi (TRANSKOM) untuk menjadikan koperasi sebagai pemacu ekonomi inklusif.
Pelaksanaannya disiapkan dua minggu lebih awal daripada jadual iaitu pada 3 Oktober 2024.
Hadir sama pada majlis perasmian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Haslina Abdul Hamid, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.