PUTRAJAYA, 28 November -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan individu yang menyerang wartawan sukan, Haresh Deol yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di Bangsar, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketegasan itu dizahirkan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, beliau turut menyifatkan insiden itu sebagai satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana wartawan, terutamanya ketika mereka sedang menjalankan tugas.
"Haresh ada memaklumkan beliau baru selesai mengadakan pertemuan dan masa yang sama kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh."
"Saya percaya pihak PDRM ada mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai salah seorang yang telah ditahan tapi kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan tersebut," beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI bercakap kepada pemberita dalam Sidang Media Mingguan selepas mesyuarat kabinet, di sini.
Sementara itu, beliau berkata Datuk Seri Anwar turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa kebakaran di ebuah kompleks pangsapuri tinggi di Hong Kong yang telah meragut nyawa lebih 90 mangsa dan puluhan cedera.