KUALA LUMPUR, 22 April-Seramai 600 asnaf dan kanak-kanak diraikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersempena program Rahmah Syawal MADANI: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA, ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, MAIWP memperuntukkan dana zakat berjumlah kira-kira RM138,000, melibatkan sumbangan tunai khas sebanyak RM200 dan cenderahati bernilai RM120 kepada 400 orang asnaf.
Selain itu, seramai 200 orang kanak-kanak asnaf turut menerima duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.
“MAIWP sentiasa berperanan secara berterusan dalam memastikan kutipan zakat yang diterima daripada para pembayar zakat melalui PPZ-MAIWP diagihkan kepada golongan yang layak.
"Maka, majlis yang diadakan pada hari ini merupakan sebahagian daripada pelbagai program yang dirangka oleh MAIWP untuk meraikan golongan asnaf,” katanya di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Dalam pada itu, Na’im turut memaklumkan bahawa sejak Januari hingga 21 April 2025, MAIWP telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM314 juta kepada golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif dan kluster bantuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Antara bantuan yang disalurkan merangkumi Kluster Bantuan Kebajikan, Kluster Pembangunan Asnaf, Institusi MAIWP, Wakalah, Agihan Zakat Bahagian Amil dan pelbagai inisiatif lain.