PUTRAJAYA, 22 April- Kerajaan sedang meneliti cadangan kenaikan caj perkhidmatan pelabuhan secara berperingkat, namun keputusan itu masih belum dimuktamadkan dan belum diwartakan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata caj pelabuhan merupakan bayaran yang dikawal selia Lembaga Pelabuhan dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.
Beliau berkata penggunaan istilah 'tarif' sering disalah faham masyarakat, sedangkan ia merujuk kepada caj perkhidmatan pelabuhan dibayar kepada operator swasta yang memiliki konsesi pelabuhan.
"Pelabuhan-pelabuhan utama seperti di Port Klang, Johor dan Pulau Pinang diuruskan oleh syarikat swasta. Mereka melabur menggunakan dana sendiri untuk menaik taraf kemudahan seperti kren, dermaga dan infrastruktur lain.
"Oleh itu, caj yang dikenakan adalah penting untuk menampung kos pelaburan dan operasi, namun tetap tertakluk kepada kawal selia Lembaga Pelabuhan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Menurut Anthony semakan terakhir caj pelabuhan dibuat pada tahun 2015, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus yang dilaksanakan dalam dua fasa -- 15 peratus pada 2015 dan 15 peratus lagi pada 2018.
Cadangan semasa pula adalah untuk kenaikan 30 peratus dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa --15 peratus pada fasa pertama, 10 peratus pada fasa kedua, dan lima peratus pada fasa ketiga.
Namun, cadangan berkenaan belum diputuskan dan masih melalui proses konsultasi bersama pemegang taruh.
"Saya belum tandatangan dan belum warta. Ini masih cadangan. Kita sedang teliti maklum balas kerana ada kebimbangan jika kenaikan dibuat secara mendadak," katanya.
Sementara itu untuk jangka panjang, kementerian merancang untuk memperkenalkan satu mekanisme semakan berkala yang lebih telus dan konsisten.
Perkara itu termasuk termasuk menggunakan indikator seperti indeks harga pengguna (CPI) dan kadar inflasi bagi menentukan kadar kenaikan yang lebih stabil dan tidak mengejutkan.
"Kita mahu wujudkan sistem yang lebih tersusun dan diterima semua pihak agar pelabuhan kita kekal kompetitif.
"Jika operator tidak mendapat pulangan mencukupi, mereka mungkin tidak melabur untuk meningkatkan kapasiti. Kita perlu seimbangkan antara keperluan pasaran dan pembangunan infrastruktur," katanya.