fb fb fb fb fb

Banjir Pahang: Penduduk terjejas bertambah

Foto APM

LIPIS, 28 November -Bilangan penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat kepada 1,270 orang berbanding 524 orang yang direkodkan pagi tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di 39 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat pukul 4.00 petang tadi.
 
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak empat daerah kini terjejas banjir ekoran hujan lebat sejak semalam.

"Daerah Kuantan mencatatkan penduduk terjejas paling ramai iaitu sebanyak 455 orang di sembilan PPS. Diikuti, daerah Maran dengan 374 orang di enam PPS, di Raub melibatkan 281 orang di 12 PPS dan Lipis 160 orang di 12 PPS," menurut Info Bencana JKM.
 
Dalam pada itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, dua sungai berada pada aras Amaran iaitu Sungai Telemong di Bentong dan Sungai Luit di kampung Subuh, Maran.
 
Manakala, sembilan sungai berada di paras amaran dengan tiga daripadanya di Jerantut iaitu, Sungai Pahang di Kuala Tembeling; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Tembeling di Kampung Merting.
 
"Selain itu, dua sungai di Kuantan iaitu, Sungai Belat di Sri Damai dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau, diikuti Sungai Triang dan Sungai Pahang di Waterfront Bera, Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh," menurut Infobanjir JPS.

TETITIA YUSOFF