fb fb fb fb fb

NADMA hantar 170,000 bekalan makanan, sedia tambah bantuan banjir

Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 November -Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meningkatkan kesiapsiagaan logistik di negeri-negeri berisiko banjir, termasuk penambahan bekalan makanan, kemudahan perlindungan dan aset sokongan infrastruktur.

NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan, persediaan sebanyak 60,000 kit makanan (KM) disalurkan untuk mangsa selepas keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS), serta 110,000 makanan retort (MRE) untuk petugas operasi, selain kegunaan hari pertama PPS telah dihantar ke depoh seluruh negara.

Agensi berkenaan turut akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menyediakan bekalan makanan semasa bencana secara berfasa.

"Seiring peningkatan kejadian banjir di Semenanjung Malaysia, NADMA telah menerima permohonan tambahan daripada JPBN Perak, Selangor, Kedah serta JKM Perlis yang melibatkan 3,000 unit KM dan 6,700 unit MRE bagi memenuhi keperluan petugas dan mangsa bencana di negeri-negeri tersebut.

"NADMA sedang menyelaras penghantaran bekalan tambahan kepada negeri-negeri yang terlibat dengan kadar segera." menurut kenyataan itu.

Daripada aspek kemudahan tempat perlindungan, sebanyak 128,186 unit Collapsible Cubicle Tent (C-Tent) telah dibekalkan di seluruh negara melalui sumbangan pelbagai pihak.

Ini termasuk daripada NADMA, Yayasan Sultan Johor, PETRONAS, Jabatan Kebajikan Malaysia dan lain-lain.

NADMA turut bersedia menambah penghantaran C-Tent mengikut keperluan semasa, dengan penyelarasan dibuat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan setiap negeri berada pada tahap optimum.

"Bagi memperkukuh pemulihan infrastruktur ketika bencana, NADMA turut menempatkan tujuh set Jambatan Keluli Bermodular di lokasi strategik, iaitu tiga set masing-masing di Sabah dan Sarawak serta satu set di Kelantan." kata kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF