PORT DICKSON, 28 November- Kira-kira 170 penduduk di Nilai dan Port Dickson kini ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Jimah Lama dan Kampung Permatang Pasir, di Port Dickson.
Manakala satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan Jijan, Nilai.
PPS Sekolah Kebangsaan Jimah Lama menempat penduduk terjejas paling ramai iaitu 100 orang daripada 23 keluarga.
Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, susulan ribut tropika Senyar yang membadai Port Dickson semalam, 86 buah rumah turut terjejas dan kesemua isi rumah yang terjejas telah dipindahkan ke PPS.
Tambah beliau, pihaknya giat membuat rondaan bagi memastikan keselamatan rumah penduduk.
"Pihak kami sentiasa membuat rondaan ke rumah-rumah yang terjejas bagi memastikan keselamatan rumah penduduk terjamin," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, penduduk terjejas yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan segera yang diterima daripada agensi berkaitan.
Tinjauan kru RTM ke Kampung Jimah Lama setakat petang tadi mendapati, hujan masih berlaku, air sungai meningkat naik dan mengalir deras serta beberapa buah rumah berdekatan dengan kawasan sungai juga turut ditenggelami air.
Penduduk di Pekan Linggi juga telah mula meningalkan rumah masing-masing untuk berpindah ke tempat selamat berikutan paras air mula meningkat mencecah lutut berikutan kenaikan Sungai Linggi susulan hujan lebat sejak semalam.