KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Kestabilan politik dan perpaduan menjadi asas Sarawak dalam mencatat kejayaan terutama dalam aspek menuntut hak-hak negeri.
Ia seterusnya berjaya membina pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin ampuh dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Pengerusi Pengelola Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 berkata pelbagai kejayaan dirangkul anak kelahiran Bumi Kenyalang sehingga kini, khususnya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Apa yang dicapai kita pada masa ini tidak akan dapat kita kecapi tanpa kestabilan politik.
"Keharmonian pelbagai kaum, kerana perpaduan jitu rakyat sarawak di bawah kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) maka suara Sarawak menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Persekutuan dalam krisis politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga ke PRU15," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena LBAS 2023 di Kuala Lumpur.
Tambah beliau, kesungguhan kerajaan pimpinan GPS turut menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Persekutuan dalam krisis politik negara pasca PRU14.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kestabilan politik, perpaduan menjadi asas kejayaan Sarawak

(Foto Fadillah Yusof)