fb fb fb fb fb

Arab Saudi anggap Malaysia rakan strategik

(FOTO RTM)

RIYADH, 22 Oktober - Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bersetuju mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia awal tahun depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, kunjungan itu selaras dengan usaha kedua-dua buah negara bagi mengerat dan meningkatkan kerjasama ekonomi dan diplomatik.

Tambah Anwar, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menganggap Malaysia sebagai rakan strategik dan bersetuju agar jalur ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara diberi tumpuan yang serius.

"Secara praktikalnya, kita bersetuju untuk mengadakan dua jalur kegiatan melalui diplomatik dan isu keselamatan yang akan diselaraskan oleh Menteri Luar Negeri dan juga isu pelaburan yang besar yang mahu diberikan tumpuan sekarang dari segi perdagangan dengan lebih pesat dipengerusikan oleh Tengku Zafrul", kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

"Aramco akan meneruskan pelaburan di Malaysia, tetapi menentapkan supaya fasiliti dan kemudahan di Pengerang itu diperluaskan dalam beberapa aspek industri hiliran 'Petro chemical' dan memperbesarkan pelaburan menjadi satu kawasan utama hab di rantau Asia Tenggara", kata Anwar pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini.

Selain itu,Anwar turut menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir Al-Rumayyan yang membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.



(FOTO RTM)

Media Baharu