fb fb fb fb fb

PM tiba di Istanbul bertemu Recep Tayyip Erdogan

ISTANBUL, 21 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 3.45 pagi tadi, waktu tempatan.

Ketibaan beliau bagi mengadakan pertemuan bersama-sama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Delegasi disambut Timbalan Gabenor Istanbul, Şevket Atlı, Komander Gendermarie; Kolonel Mesut Maden dan pegawai-pegawai luar Turkiye.

Antara agenda utama Anwar di Ankara, membincangkan usaha bersama-sama kedua-dua negara bagi menyumbang ke arah penyelesaian krisis Palestin-Israel yang semakin membimbangkan.

Pertempuran di Palestin baru-baru ini yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel telah mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban sejak 7 Okt.

Selepas pertemuannya dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja ke Turkiye dan Mesir mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Anwar baru sahaja menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan buat pertama kali sejak kedua-dua blok serantau itu menjalin hubungan pada 1990.

(FOTO BERNAMA)

Media Baharu