fb fb fb fb fb

Kesilapan grafik KPN: Kebebasan media perlu seiring tanggungjawab – PMO

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 24 Jun – Kerajaan sentiasa menghormati kebebasan media sebagai salah satu tunjang utama demokrasi, namun kebebasan itu mesti digerakkan seiring dengan tanggungjawab dan disiplin tinggi.

Penegasan itu disuarakan susulan tindakan sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan grafik mengaitkan Ketua Polis Negara dengan kegiatan politik kepartian, yang disifatkan sebagai tidak wajar dan boleh mencetuskan kekeliruan awam.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menyifatkan tindakan tersebut sebagai kekhilafan serius yang bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, tetapi juga menghakis keyakinan terhadap integriti penjawat awam.

“Pengurusan media tidak boleh lepas tangan. Proses semak fakta mesti diperkukuh agar kepercayaan rakyat tidak terhakis,” katanya pada Taklimat Khas Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini hari ini.

Tambah beliau, tuduhan melulu terhadap penjawat awam, khususnya melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral serta keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan undang-undang.

“Tuduhan tidak berasas bukan sahaja mencemar nama baik individu, malah boleh merosakkan institusi penting negara,” tegasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN