KUALA LUMPUR, 24 Jun- Penjadualan baharu penerbangan balik jemaah haji negara sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan penjadualan semula itu adalah atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan serta penyesuaian perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
"Penerbangan yang terlibat ialah KT043 (MH 8301) berlepas dari Madinah pukul 5.10 minit pagi (waktu Arab Saudi) dan KT034 (MH 8291) berlepas dari Jeddah pukul 6.40 minit pagi (waktu Arab Saudi) pada hari ini.
Kedua-dua jadual penerbangan itu telah ditunda sekurang-kurangnya 24 jam daripada jadual asal," kata kenyataan itu.
Justeru, kesemua jemaah yang terlibat telah ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah.
Sementara itu, koordinasi di lapangan terbang sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
Setakat ini, sebanyak 39 penerbangan telah tiba di tanah air dan berbaki 61 penerbangan lagi.
"Pihak Tabung Haji akan memaklumkan dari semasa ke semasa termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan," tambah kenyataan itu.