fb fb fb fb fb

Malaysia-Uzbekistan tingkat kerjasama sektor swasta dalam pelbagai bidang

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Kucharov menghadiri ucapan pembukaan Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025, hari ini/BERNAMA

TASHKENT, 24 Jun- Malaysia komited memperkukuh kerjasama sektor swasta dalam pelbagai bidang bersama syarikat-syarikat dari Uzbekistan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kekuatan Malaysia dalam pembuatan bernilai tinggi, ekonomi digital dan teknologi hijau membuka peluang luas untuk kolaborasi dengan republik tersebut.

Ini termasuk pemerkasaan bidang elektronik, tenaga boleh baharu (TBB) serta pembangunan infrastruktur pintar.

Tambahnya, sektor pelancongan dan pertukaran budaya juga dilihat berpotensi untuk dikembangkan antara kedua-dua negara.

"Begitu juga, sumber asli Uzbekistan yang banyak dan kedudukan geografi pusat menjadikannya destinasi yang menarik untuk pelaburan negara dalam sektor seperti perlombongan, pertanian, logistik dan pembangunan perindustrian.

Kita juga mesti terus mempromosikan hubungan rakyat melalui pelancongan, pertukaran budaya, memanfaat kekayaan warisan budaya, sains sejarah serta inisiatif latihan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan," kata Datuk Seri Fadillah pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025, di sini, hari ini.

Forum disertai lebih 100 peserta dengan lebih 50 syarikat dari Malaysia turut hadir.
 
Jumlah dagangan Malaysia ke Uzbekistan menunjukkan peningkatan sebanyak RM369.8 juta dan jumlah eksport bernilai RM365.1 juta, membuktikan potensi pasaran yang positif di negara berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM