PUTRAJAYA, 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar tiada sekatan dikenakan terhadap pengajian akademik pelajar yang terlibat dalam isu pembakaran karikatur beliau dalam satu demonstrasi di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
“Selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya.
Ini kerana masa depan anak muda tidak wajar dikorbankan hanya kerana perbezaan pandangan", katanya.
Ujar beliau, sebagai bekas aktivis mahasiswa dan tokoh reformis, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“YAB Perdana Menteri sendiri lahir daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gelombang reformasi di jalanan. Beliau benar-benar memahami denyut suara rakyat.
Beliau juga menjadi saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana sekalipun adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” tambahnya lagi.
Mengulas insiden tersebut, Perdana Menteri menyifatkan tindakan itu sebagai lambang harapan rakyat agar usaha memerangi rasuah diteruskan tanpa kompromi sehingga ke akar umbi.
Justeru, jelasnya, Kerajaan MADANI kekal komited terhadap agenda reformasi yang sedang dan telah diterjemahkan menerusi pelbagai tindakan berstruktur.
Memetik laporan media semalam, seramai 13 pelajar UMS dikenal pasti terbabit perhimpunan 'Gempur Rasuah 2.0' berkemungkinan berdepan tindakan tatatertib, termasuk penggantungan atau dibuang universiti mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).