fb fb fb fb fb

Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan kaum kunci kemakmuran negara - Agong

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tiga perkara itu juga adalah kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa juga cabaran yang akan datang, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama".

"Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah dikecapi selama ini, malah berusaha menyemarakkannya sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

"Seri Paduka berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci itu, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan, hari ini.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah / FOTO BERNAMA)

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap `musuh dalam selimut' yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara kerana segala fitnah dan hasutan mereka bercanggah dengan prinsip Rukun Negara yang juga kunci kepada keharmonian dan perpaduan kukuh.

Beliau berkata, Seri Paduka mengajak rakyat mengimbau kembali sejarah lebih enam dekad lepas apabila semangat patriotisme dan cintakan tanah air berjaya menyatupadukan rakyat dengan tekad untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai pejuang dan patriot kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan yang berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

"Justeru, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan lebih enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini, nescaya rakyat akan dapat menghayati dan menghargai nilai semangat patriotisme kepada negara dan perpaduan sesama pelbagai bangsa," katanya.

Mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesyukuran kerana perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga mendoakan agar Malaysia terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT serta terus dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan. – BERNAMA

Media Baharu