AMPANG, 8 Jun- Sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan menerusi Program Ibadah Korban Dewan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, hari ini bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurut Ahli Dewan Negeri Pandan Indah, Datuk Ir Izham Hashim, seramai 400 penerima mendapat manfaat menerusi program agihan daging korban, hari ini.
"Selain melaksanakan ibadah, kita juga dapat memberikan sumbangan daging kepada mereka yang memerlukan. Yang penting, ibadah ini turut mengeratkan hubungan kita sebagai masyarakat.
"Saya yakin usaha seperti ini akan membawa banyak kebaikan kepada seluruh komuniti," katanya kepada RTM di sini.
Tambah beliau yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, pada malam ini, Sambutan Rumah Terbuka Aidiladha DUN Pandan Indah akan diadakan di Kompleks Muhibah Taman Nirwana.
Beliau menjangkakan seramai 3,000 pengunjung bakal memeriahkan majlis tersebut.