LANGKAWI, 5 Julai- Kedah dilihat sebagai sebuah ‘swing state’ yang penting dan strategik dalam landskap politik negara, dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diyakini mempunyai peluang besar untuk merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, meskipun keputusan pilihan raya yang lalu tidak memihak kepada BN, ahli-ahli parti diminta untuk tidak berputus asa dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat.
“Saya harap jentera parti terus berusaha bersungguh-sungguh. Turun padang, selesaikan masalah rakyat, ziarah kasih dan ziarah mesra. Ini semua akan mengingatkan rakyat kepada jasa UMNO dan BN,” katanya semasa menghadiri Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Langkawi, hari ini.
Tambah beliau, UMNO sudah sekian lama bersama-sama kerajaan membangunkan aspirasi rakyat, khususnya di negeri Kedah dan seluruh negara.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa rekod perkhidmatan dan prestasi cemerlang UMNO-BN selama ini masih mempunyai impak yang besar dalam kalangan rakyat dan mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula parti.