PONTIAN, 8 Jun- Proses melapah 24 ekor lembu korban kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah kepada Jabatan Mufti Johor, selesai sepenuhnya pagi tadi.
Daging korban akan diagihkan kepada penduduk Johor, sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed memaklumkan, 12 ekor lembu telah diproses lebih awal, manakala selebihnya selesai hari ini.
"Insya-Allah daging-daging ini akan dilapah di sini dan akan dibungkus di sini dan kami menjangkakan sekitar 1,300 bungkus akan dapat kami siapkan pada tengah hari ini ataupun petang, memandangkan ada hal teknikal tadi di Simpang Rengga. Jadi mesin untuk mengangkat lembu itu dikatakan rosak dan terpaksa dibaiki", katanya.
Proses ibadah korban hari ini dijangka menghasilkan kira-kira 1,300 pek sumbangan untuk diagihkan ke daerah Johor Bahru dan Segamat.
Secara keseluruhan, sebanyak 230 ekor lembu korban dikurniakan Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor kepada rakyat negeri itu.