fb fb fb fb fb

Langkawi berpotensi jadi hab seni visual setanding Bali

Pameran LAVAA 15 di Balai Seni Negara Langkawi

LANGKAWI, 5 Julai- Pulau Langkawi berpotensi besar untuk diangkat sebagai destinasi pelancongan seni bertaraf antarabangsa, seiring dengan identiti seni yang dimiliki pulau Bali, Indonesia.

Perkembangan pesat seni visual di pulau itu disokong oleh kewujudan Persatuan Seni Visual Langkawi atau Langkawi Visual Art Association (LAVAA) yang kini memasuki usia 15 tahun.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara, Rohana Mohd Yusof, mutu karya seni hasil anak tempatan kini dilihat jauh lebih berkembang dan berkualiti berbanding era awal penubuhan LAVAA.

“Kerjasama antara Balai Seni Negara, LAVAA dan masyarakat setempat mampu membina rangkaian kukuh untuk mengangkat Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang diraikan menerusi seni visual,” jelas beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian Pameran LAVAA 15 di Balai Seni Negara Langkawi, hari ini.

Tambah beliau, penganjuran pameran itu juga selari dengan aspirasi untuk menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan seni yang bukan sahaja menampilkan keindahan karya seni, malah memperkukuh budaya, identiti dan khazanah seni warisan bersama masyarakat tempatan.

Sementara itu, Yang Dipertua LAVAA, Sukardi Hashim berkata, majoriti artis yang terlibat merupakan anak jati Langkawi dengan karya yang menampilkan hubungan erat antara manusia, alam dan kekeluargaan.

“Gambaran seni yang diketengahkan kali ini lebih bersifat reflektif dan menyentuh nilai kemanusiaan,” ujarnya.

Pameran LAVAA 15 menampilkan penyertaan 23 orang artis dengan pelbagai medium seperti lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi dan batik memperlihatkan kepelbagaian idea, gaya serta ekspresi seni yang segar dan unik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE