LABUAN, 8 Jun- Program Korban Perdana di Labuan diteruskan untuk tahun ke-17 penganjurannya di Balai Raya Batu Manikar, di sini.
Program itu menjadi platform menyatupadukan masyarakat setiap kali sambutan Aidiladha.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan tahun ini, dua ekor lembu disumbangkan kepada anggota polis dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Labuan. Manakala, lima ekor lembu ditumbangkan dan diagih pada program itu.
"Selain kita menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS, program ini juga kita menyemarakkan lagi kebersamaan, perpaduan di antara kita dengan masyarakat, khususnya di wilayah Persekutuan Labuan.
"Syukur Alhamdulillah hari ini saya melihat kehadiran yang begitu ramai dan inilah yang kita mahu. Selain kita beribadah melalui program Korban Perdana ini, kita dapat juga menyemarakkan, kita dapat juga mendekati masyarakat", katanya.
Ahli UMNO Labuan dan komuniti setempat melapah dan membungkus lebih 1,000 bungkusan daging korban untuk diagih kepada asnaf di pulau itu.
Tambah beliau, program seperti itu mengukuhkan silaturahim dalam kalangan penduduk, bukan sahaja sesama ahli UMNO dan komuniti, malah juga dengan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Program turut dihadiri Pengerusi Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ketua Kawasan Amanah Labuan Datuk Wira Dr. Ramli Tahir.