KUALA LUMPUR, 5 Julai - Lebih 10,500 wanita di Malaysia dikenal pasti positif virus papiloma manusia (HPV) hasil inisiatif saringan kanser serviks oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sejak lima tahun lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka tersebut daripada Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks 2021–2030 dengan lebih 160,000 wanita di seluruh negara telah diperiksa.
Beliau mendedahkan, 65 peratus wanita di Malaysia tidak menjalani saringan kanser serviks sejak tiga tahun lepas dan menyifatkan angka itu sebagai membimbangkan memandangkan penyakit tersebut boleh dicegah.
"Ia berpunca daripada virus yang boleh kita kesan awal. Ia boleh dirawat apabila dikesan tepat pada masanya serta boleh dihapuskan sepenuhnya, jika kita segera bertindak. Ramai wanita tidak menyedari, teragak-agak atau ketinggalan, selalunya disebabkan ketakutan, stigma atau kekurangan akses.
"Ramai wanita berasa malu atau tidak selesa tentang ujian HPV, bukan kerana mereka tidak menghargai kesihatan mereka tetapi kerana mereka takut dihakimi atau disalahertikan,'' katanya dalam ucapannya semasa pelancaran Program Pemeriksaan Serviks Percuma Etiqa Fasa Lima bersama Yayasan ROSE di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, kemajuan saintifik telah menjadikan pemeriksaan serviks lebih mudah, dengan pensampelan kendiri DNA HPV kini tersedia sebagai kaedah yang selamat, bersifat peribadi, tidak menyakitkan dan 90 peratus tepat yang hanya memerlukan pemeriksaan setiap lima hingga 10 tahun.
Berhubung program hari ini, beliau berkata, KKM menyokong dan memuji usaha berasaskan komuniti seperti Program Removing Obstacles to Cervical Screening (ROSE) yang memanfaatkan pembiayaan korporat menerusi perkongsian strategik dan menunjukkan bagaimana model (kesihatan) mampan berpusatkan pesakit boleh dibina untuk pembiayaan dan penjagaan kanser.
"Kini, kami mempunyai 44 hospital kerajaan yang bekerjasama dengan ROSE untuk merapatkan jurang kebolehcapaian kepada penjagaan,'' katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Etiqa, yang meneruskan kerjasama dengan Yayasan ROSE dalam fasa kelima tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada 4,000 wanita terutamanya dalam komuniti rentan menerusi pemeriksaan serviks percuma mereka.
''Inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses tetapi juga menyokong aspirasi KKM untuk menghapuskan kanser serviks di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Dzulkefly menegaskan, penghapusan kanser serviks memerlukan lebih daripada usaha klinikal dan menekankan keperluan untuk tanggungjawab kolektif serta perubahan budaya.
"Perjuangan kita bukan hanya klinikal - ia juga budaya dan sosial. Kita mesti menormalkan perbualan tentang kanser serviks, mencabar rasa malu yang menyelubungi HPV dan mengesahkan bahawa tiada rasa malu dalam pencegahan, hanya kekuatan," katanya.- BERNAMA