fb fb fb fb fb

Warga emas maut, tersepit dalam nahas dua lori

Mangsa berusia 69 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu/Foto bomba

MUKAH, 5 Julai – Seorang lelaki warga emas maut selepas lori dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi lori di Jalan Temesu, Pangkalan Lobang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.23 tengah hari itu, mangsa berusia 69 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah digerakkan ke lokasi.

"Anggota mengambil masa hampir 30 minit menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN