KANGAR, 5 Julai - Kepimpinan dan wajah baharu yang ditampilkan UMNO Perlis membuka ruang untuk ia merampas kembali negeri itu.
Selain itu, khidmat bakti berterusan yang dicurahkan parti berkenaan turut membuka mata rakyat untuk membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata peluang itu dilihat cerah di Perlis berbanding negeri-negeri lain yang tidak dikuasai parti, selain faktor rakyat Perlis juga amat merindui khidmat dan bakti yang diberikan oleh UMNO selama ini.
Pada pilihan raya umum lalu, rakyat dilihat ingin mencuba kerajaan negeri yang baharu, namun beliau percaya sokongan itu akan kembali kepada UMNO berikutan khidmat berterusan parti itu kepada rakyat.
"Dengan kepimpinan baharu dan wajah-wajah baharu ditampilkan oleh UMNO di Arau, Padang Besar dan Kangar, Datuk Rozabil (yang merupakan) pemimpin muda yang baharu memimpin Bahagian Arau, begitu juga dengan Bahagian Kangar dan Padang Besar, ini adalah wajah-wajah segar yang kita tampilkan, bahawa dengan satu hasrat untuk kita menabur bakti dan budi kepada rakyat di negeri Perlis ini," kata beliau ketika ditemui media selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Arau merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan UMNO dan BN mempunyai peluang merampas semula negeri itu sekali gus memberi cabaran kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU-16 mengikut perancangan dan strategi yang diatur.